20 September 2011

Libas Parang Samun RM300K




IPOH: Seorang pekerja sebuah syarikat pengangkutan bermandi darah apabila kepalanya dilibas bertalu-talu dengan parang oleh sekumpulan perompak dalam satu kejadian samun di Jalan Tambun di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, mangsa bersama seorang rakan sekerja dalam perjalanan ke sebuah bank membawa wang tunai RM300,000 untuk dimasukkan ke dalam bank itu.

Mangsa, 30-an, dan rakannya seorang wanita, 20-an, tidak menyedari kenderaan mereka diekori sebuah kereta lain sehingga ke Jalan Tambun, di sini.


Sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dirempuh kereta suspek dari belakang menyebabkan mangsa memberhentikan kenderaannya.

Sebaik keluar dari keretanya, mangsa diserang sekumpulan lelaki bersenjata parang yang menetaknya hingga parah di kepala dan tangan.


Sejurus menetak mangsa, kumpulan penyamun memaksa rakan sekerja mangsa keluar dari kereta sebelum mereka melarikan diri dengan kereta mangsa bersama wang tunai RM300,000 di dalam beg.



Mangsa dikejarkan ke hospital, manakala rakan sekerjanya tidak cedera. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek meninggalkan kereta Proton Wira warna putih dinaiki mereka sebelum itu di tepi jalan sebelum melarikan diri dengan kereta mangsa.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di bandar raya ini untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan serius.


Menurutnya, pihaknya belum mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu memandangkan mangsa masih dirawat di hospital.

“Kami juga tidak dapat mengenal pasti bilangan suspek yang terbabit dalam kejadian itu, namun saksi mendakwa melihat empat lelaki menyerang mangsa.


“Kami kini sedang memburu suspek dan motif kejadian masih disiasat. Kami tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan samun,” katanya.


Katanya, siasatan mendapati kedua-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat pengangkutan dan sedang dalam perjalanan ke sebuah bank untuk memasukkan wang syarikat.



p/s : Apa nak jadilah dengan manusia zaman sekarang. Sangat kejam.


0 Responses to “Libas Parang Samun RM300K”

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by
Socialbar

ShoutMix chat widget
;