21 September 2011

Kami Sudah Bersedia




SEJAUH mana benteng skuad Olimpik negara akan bertahan bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal pemain berdepan jentera serangan Jepun yang mahukan kemenangan selesa pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, malam ini.
Apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri, tuan rumah tidak mahu sebarang kecacatan yang boleh menjejaskan keyakinan mereka selaku pasukan pilihan untuk layak secara automatik ke London.

Tugas pastinya berat buat Mohamad Muslim Ahmad serta rakan di benteng yang tidak akan duduk diam menahan, menyekat dan menghalang kubu Malaysia daripada ditembusi.


“Kami sudah bersedia menghadapi apa saja kemungkinan. Kami juga sedar serangan Jepun boleh hadir dari pelbagai sudut, jika tidak barisan penyerang, pemain tengah mereka mampu melakukan ancaman.

“Pada saya, apapun ancaman yang datang, kami harus hadapinya dengan bijak, tenang dan pantas mengawal keadaan. Paling penting adalah fokus kerana ia aspek penting berdepan lawan sehebat Jepun,” katanya.


Walaupun mengakui penyerang utama Jepun, Kensuke Nagai menjadi pemain yang harus diawasi setiap masa, mereka juga mempunyai pemain lain seperti Genki Haraguchi dan Naoki Yamada yang tidak boleh terlepas pandang.



“Bagi kami, setiap pemain Jepun adalah ancaman benteng negara,” katanya. Kekuatan fokus itulah yang menyaksikan benteng negara yang dikawal Muslim, Fadhli Shas, Mahali Jasuli dan Zubir Azmi hanya melepaskan satu gol ketika menang 2-1 ke atas Lubnan sepanjang kelayakan awal.

Ditanya persiapan terakhir menghadapi Jepun ini, Muslim menegaskan tidak banyak yang perlu dilakukan cuma ketua jurulatih, Ong Kim Swee lebih fokus kepada pengajaran menerusi rakaman perlawanan terdahulu, termasuk rakaman membabitkan aksi Jepun.


“Dari rakaman itu, kami berbincang bagaimana kesilapan itu berlaku dan cara untuk memperbaikinya. Bagi saya cara ini banyak memberi manfaat dalam memperkemaskan lagi aspek teknikal di samping corak permainan taktikal,” kata pemain kelahiran Terengganu itu.

Namun bagi kapten, Khairul Fahmi Che Mat, moral rakan sepasukan cukup tinggi tambah lagi mereka sudah cukup bersedia menghadapi perlawanan pembukaan ini.


Tidak ada reaksi gentar terbayang di wajah pemain sebaliknya mereka memang sudah bersedia berdepan kehebatan tuan rumah.


“Sekalipun sejuk, berangin dan hujan sepanjang hari di sini, ia tidak melunturkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik.


“Harapan saya kepada rakan lain agar buktikan yang kita juga boleh membuat kejutan, memberikan mereka tekanan dan masalah,” katanya.



0 Responses to “Kami Sudah Bersedia”

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by
Socialbar

ShoutMix chat widget
;