11 September 2011

Boas Tak Kisah




LONDON: Andre Villas-Boas berkata dia tidak langsung gusar dengan prestasi mengagumkan yang dicapai Manchester United dan Manchester City pada awal musim ini di mana ketika ini kedua-dua kelab menerajui kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Begitupun pengurus Portugal itu menyalahkan perlawanan antarabangsa kerana menjejaskan permulaan kempen dan berkata penamat musim perpindahan akan memberi peluang untuk lebih fokus kepada kelab.


Malah pengurus United, Sir Alex Ferguson mengakui bahawa Chelsea bakal menjadi pencabar utama musim ini dan mampu bersaing untuk merebut kejuaraan.

Ditanya mengenai jaringan yang begitu banyak diraih kedua-dua kelab, Villas-Boas hanya mampu berkata: “Baguslah.” “Mereka menjaringkan banyak gol dan ia sesuatu yang baik untuk bola sepak Inggeris. Kami cuma berharap dapat menjaringkan lebih banyak gol berbanding pasukan lawan.


“Kami tidak ketinggalan begitu jauh dan kami mahu merapatkan jurang. Saya fikir kami mampu memperbaiki kedudukan dan perlu mengubah prestasi pasukan.




“Adalah sukar untuk mendapatkan satu pasukan yang sempurna. Kami tidak melakukannya musim ini atau musim depan tetapi kami mampu memperbaikinya setiap minggu dan itulah yang diharapkan orang ramai.
“Kami gembira kerana mencipta banyak peluang untuk menang dan itulah tumpuan kami. Kami perlu meningkatkan kualiti dan kelancaran di padang dengan beraksi dalam banyak permainan, dan bukannya berehat seminggu untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.


“Kini tumpuan terhadap pasukan lebih terarah dengan penutupan pasaran pemain. Perkara ini tidak mengganggu tumpuan pemain tetapi mempengaruhi perkara yang berkaitan dengan bola sepak.


Mengenai kemenangan besar United terhadap Arsenal, 8-2 di Old Trafford bulan lalu beliau berkata ia bukan satu keputusan yang biasa.


“Ia sesuatu yang jarang berlaku dan Manchester United bermain dengan sempurna,” katanya.


Villas Boas kini percaya terdapat enam kelab mampu memenangi gelaran itu.


“Ada lima pasukan iaitu United, City, Liverpool, Chelsea dan Arsenal malah saya tidak boleh meninggalkan Tottenham. Bukan sesuatu yang mustahil untuk mereka menyertai kelompok itu dan memberi cabaran. Anda tidak akan tahu apa akan terjadi,” katanya.

0 Responses to “Boas Tak Kisah”

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by
Socialbar

ShoutMix chat widget
;